NASIONAL

“Sayangi Malaysiaku” manifestasi cinta kepada negara

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA,9 JULAI: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini membawa kelainan apabila membuka peluang kepada rakyat berkongsi idea kreatif mencipta logo.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berkata, penyertaan orang ramai amat menggalakkan dengan 632 sumbangan logo “Sayangi Malaysiaku” diterima melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JPM) selaku urus setia yang dibuka sebulan, bermula 7 Jun hingga 7 Julai lalu.

“Logo ini akan disenarai pendek juri untuk diangkat ke pertimbangan jemaah menteri dan dipilih sebagai logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

“Sambutan orang ramai amat membanggakan dan membuktikan manifestasi kasih sayang serta semangat patriotisme tinggi kepada negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Katanya, sumbangan logo itu disertai pelbagai bangsa merangkumi segenap lapisan usia antaranya warga emas berusia 84 tahun, manakala peserta termuda, pelajar 15 tahun.

Turut diterima, katanya, penyertaan lima logo daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lapan warga emas serta 46 logo dicpta secara lukisan tangan.

“Antara kriteria utama pemilihan 10 logo disenarai pendek adalah berpandukan kreativiti, keaslian ciptaan, ‘wow factor’ dan rasional logo berdasarkan tema,” katanya.

Semua sumbangan logo akan dinilai panel juri bertauliah terdiri daripada Ahli Lembaga Galeri Shah Alam Prof, Dato’ Raja Zahabuddin Raja Yaakob; Pengasas Bersama & Pengarah Eksekutif 3nity, Joseph Foo dan Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka JPM, Mohd Roffee Mohamad.

Pada masa sama, KKKM berkata, bagi menyemarakkan semangat patriotisme, orang ramai dialukan untuk terus mengemukakan cadangan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui laman Facebook Merdeka 360 atau laman sesawang malaysiamerdeka.my

“KKMM mengucapkan terima atas sumbangan logo dan berharap sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia akan diraikan dengan semangat perpaduan,” katanya.


Pengarang :