EKONOMI

Ringgit dijangka diniaga tidak berubah minggu depan

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Ringgit mungkin diniagakan tidak berubah berbanding dolar US minggu depan berikutan pertumbuhan ekonomi AS yang lebih kukuh dan jangkaan kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur oleh Rizab Persekutuan.

Seorang penganalisis memberitahu Bernama yang pertumbuhan ekonomi AS meningkat pada suku kedua pada kadar terpantas sejak 2014, yang akan merangsang pembelian dolar US.

Dilaporkan bahawa keluaran dalam negara kasar AS naik kepada 4.1 peratus, diterajui oleh kenaikan penggunaan peribadi daripada suku pertama serta lonjakan eksport.

“Angka ini sudah dijangka. Bagaimanapun, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana harga komoditi pada masa ini lebih tinggi, akan memberi sokongan kepada ringgit,” kata penganalisis berkenaan.

Ditanya sama peletakan jawatan lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd akan memberi kesan kepada mata wang itu, beliau menjawab, ia tidak akan berlaku.

Sementara itu, Ketua Strategi Mata Wang & Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, kecuali ada jualan besar-besaran dolar US, ringgit akan kekal di bawah 4.05 berbanding dolar minggu depan.

“Terdapat keluaran data ekonomi yang penting dari Malaysia minggu depan, termasuk indeks pengurus pembelian pembuatan dan laporan imbangan perdagangan.

“Kedua-dua indikator ini dilihat sebagai memberi penilaian kritikal mengenai prestasi ekonomi Malaysia dan saya menjangka pelabur akan memantau sama ada perang perdagangan global yang berterusan mungkin memberi impak kepada permintaan ke atas barang-barang Malaysia,” katanya.

Menurutnya, laporan ekonomi tidak mungkin mempunyai kesan yang bermakna kepada ringgit melainkan terdapat kejutan besar daripada data itu.

Jameel mengekalkan pandangannya bahawa ringgit akan kekal di bawah 4.05 dan boleh merosot menurun lagi sehingga 4.10 dalam minggu yang akan datang.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu berada pada 4.0600/0650 berbanding dolar AS berbanding 4.0600 0630 yang dicatat pada Jumaat lepas.

Ringgit keseluruhannya lebih rendah berbanding beberapa mata wang utama lain.

Ia jatuh berbanding pound kepada 5.3117/3199 daripada 5.2861 2904 tetapi naik berbanding euro kepada 4.7193/7264 daripada 4.7315/7366.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9763/9806 daripada 2.9687/9718 dan jatuh berbanding yen kepada 3.6508/6562 berbanding 3.6108/6138.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :