SUKANKINI

Tahniah pelantikan Raja Muda terajui FAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JUL: Kerajaan Negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj yang sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) baru.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan pelantikan Raja Muda itu tepat ketika FAS memerlukan kepimpinan lebih kuat dan mampu melonjak kembali imej pasukan The Red Giants sebagai antara pasukan terkuat rantau ini.

“Kerajaan Selangor ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku Raja Muda atas pelantikan ini.

“Kerajaan Selangor turut akan memberi sokongan padu terhadap urusan membabitkan pengurusan pasukan Selangor FA termasuk membenarkan penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah untuk pasukan Selangor FA bagi perlawanan akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, pengurusan FAS kini boleh memulakan perbincangan bersama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia FAM) berkenaan urusan jadual perlawanan.

Katanya, pasukan Selangor FA juga mula berlatih di Padang SUK sebagai persediaan Final Shopee Piala FA 2018 dan akan terus menggunakan padang tersebut sebagai lokasi latihan pasukan.

“Pastinya lebih banyak bantuan dan sokongan yang boleh dibincangkan untuk kecemerlangan bolasepak Selangor pada masa hadapan.

“Justeru, Kerajaan Selangor dan seluruh rakyatnya mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada DYTM Raja Muda Selangor bagi mengemudi FAS ke satu dimensi yang baru,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat Selangor memberikan sokongan padu pada perlawanan Final Shopee Piala FA 2018 menentang Pahang.

“Ayuh bersatulah, berikan sokongan padu pada Final Shopee Piala FA 2018 Selangor menentang Pahang.

“Kekalkan mentaliti juara dan semoga Piala FA berjaya dibawa pulang ke Selangor,” katanya.

 


Pengarang :