PELANCONGANSELANGOR

Tourism Selangor wujudkan ‘Hos Komuniti’, jadi pemandu pelancong

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 24 JUL: Tourism Selangor mewujudkan satu program khas dikenali ‘Hos Komuniti’, sebagai persediaan menanti kehadiran pelancong asing ke negeri itu.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, seramai 20 peserta dari tiga daerah membabitkan Klang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor terpilih untuk menyertai program berkenaan.

Katanya, kesemua peserta akan didedahkan dengan modul asas pemanduan pelancong sepanjang enam bulan menjalani program terbabit.

“Mereka dipilih melalui sesi temuduga yang dibuat baru-baru ini di tiga PBT itu dan sedang menjalani program latihan yang dikendalikan oleh pihak kami sendiri.

“Keutamaan diberi kepada anak jati Selangor yang menetap dan bermastautin selama lebih 10 tahun.

“Setelah selesai menjalani program ini, peserta akan bergraduasi dan mendapat sijil yang diiktiraf Kementerian Pelancongan Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gala BBQ Dinner bersama Penggiat Media dan Blogger, di Avani Sepang Goldcoast, di sini, Ahad lalu.

Pada masa sama, Ashikin berkata, agensi pelancongan lain boleh menggunakan khidmat peserta ‘Hos Komuniti’ itu untuk mempromosi pakej ditawarkan mereka kepada pelancong.

“Selain membawa pelancong menerokai tempat menarik, peserta hos komuniti turut berpeluang menceritakan sejarah dan keunikan yang terdapat di kawasan mereka.

“Ini antara langkah agresif kami ke arah menuju tahun melawat Malaysia, selain merancakkan lagi projek pelancongan sedia ada di Selangor,” katanya.


Pengarang :