BERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor nafi ambilalih SPLASH RM2.55 bilion, bayar 10 kali ganda

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dakwaan mantan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bahawa Selangor perlu membayar 10 kali ganda nilai Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) apabila Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambilalihnya adalah tidak benar sama sekali.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, tawaran pengambilalihan berjumlah RM2.55 bilion adalah bersamaan dengan diskaun 28 peratus ke atas nilai buku bersih SPLASH iaitu RM3.54 billion pada 30 Jun lalu.

“Nilai buku bersih SPLASH disahkan tidak kurang tiga pihak bebas, RHB Investment Bank dilantik Kerajaan Negeri yang menilainya RM2.5 bilion setakat 31 Mac 2015 dan RM3.2 bilion berdasarkan kaedah penilaiain pendapatan masa depan didiskaunkan (Discounted Cash Flow).

“Deloitte dilantik Kerajaan Persekutuan mengesahkan nilai pengambilalihan SPLASH sebanyak RM2.7 bilion pada tahun lalu manakala Ernst & Young menilainya pada kadar RM2.8 bilion pada 31 Mac tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, ia menafikan dakwaan dibuat Abdul Khalid berdasarkan artikel diterbit The New Straits Times, 8 Ogos lalu.

Suhaimi berkata, nilai sebenar SPLASH adalah bukan RM250 juta dan angka diperoleh itu setelah kadar pulangan 12 peratus ke atas pelaburan saham dibuat semenjak perjanjian konsesi bermula dikira dari permulaannya pada Januari 2000 sehingga 31 Disember 2012 dan setelah ditolak dengan dividen dibayar sebelum ini.

Katanya, nilai terbabit ditawarkan kepada pemegangh saham SPLASH pada 2013 dan berdasarkan kenyataan kewangan syarikat itu yang diaudit, nilai buku bersihnya adalah RM1.84 bilion pada 31 Mac 2013 maka tawaran RM250 juta pada tahun itu pada diakun 86 peratus berbanding nilai buku bersihnya pada ketika itu.

“Pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘willing buyer, willing seller’ dengan pihak penjual dan pembeli bersetuju sebelum pengambilalihan dimuktamadkan maka berdasarkan diskaun besar dari nilai buka bersihnya dalam tempoh lima tahun, pemegang saham menolak untuk menjual SPLASH pada kadar RM250 juta.

“Nilai tawaran pengambilalihan sebanyak RM2.55 bilion dibuat Air Selangor juga cuma mewakili 54 peratus daripada hutang tertunggak RM4.7 bilion kepada SPLASH iaitu diskaun 46 peratus,” katanya.

Beliau berkata, jumlah hutang tertunggak itu diperoleh akibat pengambilalihannya tertangguh lima tahun dan pada April lalu, SPLASH memulakan prosiding undang-undang ke atasnya.

Katanya, Air Selangor turut membantah dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan keistimewaan diberikan kepada SPLASH dan sebaliknya diskaun lebih tinggi diberikan berbanding pengambilialihan ke atas Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) pada 2015.

“Di dalam transaksi PNSB, Air Selangor membayar harga bersamaan dengan 0.86 kali nilai buku bersih, iaitu diskaun sebanyak 14 peratus ke atas nilai buku bersih aset konsesi air PNSB. Di dalam transaksi itu, Air Selangor tidak mengambilalih aset bukan konsesi air dimiliki PNSB.

“Di dalam transaksi SPLASH pula, nilai tawaran Air Selangor bersamaan 0.72 kali nilai buku bersih SPLASH, iaitu diskaun 28 peratus ke atas nilai buku bersihnya.

“Manfaat bakal diperolehi dengan pengambilalihan SPLASH dan penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air adalah segala bon dan pinjaman dihutang keempat syarikat konsesi air berjumlah lebih RM8 billion akan diambilalih Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan distruktur semula sebagai bayaran sewa pajakan.

“Hutang Kerajaan Negeri kepada Persekutuan melebihi RM 1.1 billion bagi pelbagai projek berkaitan air juga akan distruktur semula sebagai bayaran sewa pajakan,” katanya.

Selanjut Suhaimi berkata, segala perjanjian konsesi diberikan kepada syarikat swasta akan ditamatkan dan tiada lagi keuntungan berlipat ganda dinikmati sebelumnya.

Katanya, kadar bekalan asas (base supply rate, BSR) bagi pembekalan air terawat oleh SPLASH pada kadar sebanyak RM1.37 semeter padu (m3) akan turun ke kadar lebih munasabah iaitu bermula dari di antara 42 hingga 44 sen se m3.

“Pengurangan kos operasi hasil dari penstrukturan semula industri bekalan air di mana Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal memproses, merawat dan mengagihkan air terawat akan memberi kesan positif ke atas tahap keberkesanan operasi,” katanya.


Pengarang :