EKONOMI

Bursa Malaysia meningkat semula dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR 30 OGOS: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, dengan indeks utama meningkat semula daripada penurunan semalam berikutan pelabur mengambil petunjuk daripada penutupan semalaman Wall Street yang meningkat dengan peningkatan harga minyak.

Pada jam 9.04 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.26 mata kepada 1,821.9 daripada 1,820.64 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks dibuka tinggi 0.9 mata kepada 1,821.54.

Suasana pasaran di pasaran lebih luas positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 150 berbanding 135, dengan 172 kaunter tidak berubah, 1,462 tidak diniagakan dan 68 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 152.72 juta unit bernilai RM79.18 juta.

Kenanga Research berkata, unjuran teknikal jangka panjang FBM KLCI kekal positif.

“Jika trend indeks lebih tinggi, kami menjangka langkah ke arah paras halangan pada 1,840 dan 1,870.

“Sebaliknya, paras sokongan dapat dikenal pasti pada 1,800 dan 1,770,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik empat sen kepada RM25.08, Tenaga meningkat enam sen kepada RM15.76, dan CIMB menokok tiga sen kepada RM6.12.

Maybank susut dua sen kepada RM9.98 dan Petronas Chemicals merosot enam sen kepada RM9.51.

Dalam kalangan saham aktif, Vivocom tidak berubah pada 2.5 sen, Hibiscus berkurangan satu sen kepada RM1.09, TA Enterprise susut setengah sen kepada 65.5 sen, manakala Sapura Energy dan Borneo Oil, masing-masing menambah setengah sen kepada 35.5 sen dan 6.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 1.46 mata kepada 12,755.18, Indeks FBMT 100 meningkat 7.93 mata kepada 12,557.43, FBM 70 menokok 6.7 mata kepada 15,222.23, dan Indeks FBM Ace meningkat 6.65 mata kepada 5,352.11.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah susut 3.46 mata kepada 12,865.05.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 6.55 mata kepada 17,939.2, Indeks Perusahaan berkurangan 8.33 mata kepada 3,227.13, bagaimanapun Indeks Perladangan meningkat 20.42 mata kepada 7,593.22.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :