PENDIDIKANSELANGOR

Karnival Komuniti Prihatin & Hari Terbuka UNISEL 5.0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 30 OGOS: Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan bakal menganjurkan Karnival Komuniti Prihatin serta Hari Terbuka UNISEL, pada 31 Ogos hingga 2 September ini, di Padang Awam, Desa Mentari, di sini.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, karnival itu bertujuan memberi pendedahan mengenai penekanan konsep kekeluargaan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat melalui ceramah, pertandingan sukan dan sebagainya.

Katanya, UNISEL giat menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan memandangkan ia merupakan landasan baharu untuk membawa warga universiti bersama-sama turun padang, sekali gus mempromosikan pengajian di UNISEL, termasuk hebahan mengenai bantuan bidang pendidikan disediakan Kerajaan Negeri.

“Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seperti Ceramah Santai Komuniti, sketsa, pentas masyarakat, slot bersama komuniti, pameran agensi kerajaan negeri, cabutan bertuah dan bermacam lagi.

“Beberapa selebriti terkenal tanah air bakal ditampilkan menerusi slot bual bicara dan menariknya ada penampilan Altimet, Mawi, Hafiz Hamidun, Heliza Helmi, Wani Helmi, Sabhi Sadhi, Man Raja Lawak dan ramai lagi di konsert Malam Santai Seni Generai Cemerlang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Selain itu, Hasril berkata, karnival itu turut membawakan bekas pemain bola sepak profesional Malaysia, Rezal Zambery dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail menerusi slot Bicara Santai Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi.

“Ini memberi ruang kepada masyarakat untuk berkongsi pendapat mengenai pembangunan bola sepak terutama dalam kelompok komuniti setempat.

“Dalam pada itu, perlawanan persahabatan antara Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia dan penduduk setempat juga akan diadakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga dijangka hadir untuk slot ‘Dadah 1001 Masalah’ pada 1 September jam 2 petang.

Katanya, slot itu turut dikendalikan Man Raja Lawak bersama panel terlibat yang akan membicarakan dan mengupas isu semasa berkaitan penyalahgunaan dadah.

Terdahulu, karnival edisi kelima itu adalah sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat sekitar khusunya di Selangor susulan kejayaan penganjuran empat edisi sebelum ini.


Pengarang :