SELANGOR

Halimey gariskan enam segmen pembangunan belia Seri Setia

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 OGOS: Program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bakal diperkasakan dengan memfokuskan kepada enam segmen utama melibatkan belia kawasan itu.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, enam segmen itu adalah ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, daya kepimpinan, sukan dan pendidikan.

“Belia atau generasi muda di DUN ini tanpa mengira bangsa akan diberi pendedahan sewajarnya dalam apa sahaja bidang termasuk sukan sehingga mereka mampu mencapai tahap yang cemerlang.

“Melatih generasi muda yang terpilih supaya mereka mahir berkomunikasi termasuk membimbing mereka agar mampu melakukan pengucapan awam di khalayak ramai menerusi program yang dikenal pasti kerana ini penting berikutan kemahiran pengucapan awam adalah ciri utama dalam melahirkan seorang pemimpin berkarisma dan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Harian PAKATAN di Bilik Gerakan Utama DUN Seri Setia di sini, hari ini.

Halimey berkata, golongan muda berani terlibat sebagai inovator atau pereka bagi produk yang boleh memberi manfaat kepada negara dan golongan terbabit perlu diberikan bantuan dan sokongan moral mahupun material.

Halimey turut menggariskan terhadap keperluan untuk memastikan asas utama seperti pendidikan dan ekonomi mereka sentiasa diberi perhatian supaya usaha melahirkan belia berwawasan tidak terencat.

Selain itu, ruang untuk anak muda menyalurkan idea dan pandangan terutama berkaitan idea yang boleh menyumbang kepada proses pembangunan masyarakat setempat khasnya di Seri Setia perlu dibuka seluas-luasnya.

“Ini penting kerana adakalanya idea generasi muda lebih kreatif terutama bagi mereka yang berfikiran di luar kotak tetapi tidak tahu ke mana hendak disalurkan,” katanya lagi.

Halimey turut tekad memastikan PeBT didedahkan kepada ilmu dan kepentingan patriotisme supaya semangat sayangkan komuniti dan negara dapat dicontohi oleh anak muda di sekeliling mereka.


Pengarang :