SELANGOR

JBS jayakan forum realisasi pandangan belia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 OGOS: Sejajar dengan tekad memperkasa program berteraskan belia, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor mengambil inisiatif menganjurkan Forum Bual Bicara ‘Malaysia Baharu, Apa Belia Mahu’, di Universiti Selangor, di sini, hari ini.

Membabitkan penyertaan kira-kira 100 pelajar, program itu antara yang pertama dijalankan di UNISEL, melalui kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Timbalan Pengarah JBS, Mu’azammir Jili berkata, pelaksanaanya bakal memberi peluang kepada belia untuk menyuarakan idea dan pandangan berkaitan isu semasa di negeri ini, khususnya.

“Dengan keadaan Malaysia serba baharu, kita memilih UNISEL dalam menjayakan program ini kerana mahu memberi ruang kepada pelajar untuk berkongsi berkenaan hak belia.

“Ini juga salah satu daripada program Ahli Parlimen Belia, iaitu mereka diberi peruntukan untuk merancang dan menjalankan apa-apa aktiviti atau program berbentuk ilmiah yang melibatkan golongan belia.

“Seterusnya, pihak kami akan membuat pemantauan supaya segala program berjalan sempurna seperti yang dirancang daripada awal,” katanya ketpada SelangorKini.

Pada masa sama, Mu’azammir berkata, ia sekali gus membantu ke arah mempertingkatkan usaha pembangunan negara selain berbahas dan membincangkan isu terpilih dalam sidang Parlimen Belia setiap tahun.

“Selain diberi kesempatan melontarkan pandangan, kita turut memberi peluang kepada ahli parlimen belia sendiri yang juga merangkap belas felo perdana untuk memanjangkan isu dibahaskan wakil belia dalam kalangan pelajar ini.

“Kita mahu wakil UNISEL itu sendiri menyuarakan pandangan mereka berasaskan Malaysia baharu, supaya apa yang belia mahukan dapat direalisasikan,” katanya.

Barisan panel terdiri daripada wakil Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohammad Hisham Sah Nuddin dan Ariff Affandi Shaarifuddin serta dikendalikan moderator, yang juga Dekan Pascasiswah UNISEL, Dr Kamisah Supian.


Pengarang :