GLOBAL

Angka kematian jejambat runtuh meningkat 26 orang

GENOA 15 OGOS: Pasukan bomba dan penyelamat meneruskan usaha mengesan mangsa terselamat dalam runtuhan jejambat di sebuah lebuh raya yang runtuh di sini, semalam, yang setakat ini sudah meragut nyawa kira-kira 26 mangsa.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Giuseppe Conte, berkata jumlah mangsa dijangka meningkat, malah agensi berita ANSA yang memetik sumber jabatan bomba melaporkan, angka kematian dijangka mencecah 35 orang.

Jejambat setinggi 50 meter yang dilengkapi sebuah menara itu, runtuh ketika hujan lebat lalu dan sewaktu kejadian berlaku dipercayai kira-kira 35 kenderaan sedang menggunakannya.

Runtuhan jejambat turut menghempap dua bangunan gudang, laluan kereta api dan sungai.

Kerajaan wilayah Liguria dalam ciapan di Twitter berkata, 19 daripada mayat sudah dikenal pasti, manakala 15 lagi mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital dan sembilan daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, lebih 400 penduduk dipindahkan dari kediaman berhampiran dan di bawah bahagian jejambat berkenaan.

Menurut agensi pertahanan awam, setakat ini, runtuhan disyaki hanya mengorbankan mangsa yang berada di atas jejambat itu dan bukannya mereka yang berada di bawah binaan berkenaan.

Pegawai kanan jabatan bomba, Bruno Frattasi ketika memberitahu stesen penyiaran RAI, berkata anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan tujuh mangsa, selepas mendengar suara meminta tolong dari bawah runtuhan.

“Kami berharap dapat menjumpai lebih ramai mangsa yang terselamat,” kata jurucakap polis, Alessandra Bucci.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :