SELANGOR

Kadar kesuburan di Selangor 1.7 sahaja, sangat membimbangkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 26 OGOS: Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan di negara ini khasnya di Selangor dan Kuala Lumpur berada di tahap membimbangkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Tze Han berkata, selain faktor sara hidup semakin meningkat, isu penjagaan anak turut mendorong ibu bapa merancang untuk tidak memiliki ramai anak.

“Bagi saya salah satu faktor kerana kita menggalakkan ibu di Selangor proaktif menceburkan diri dalam semua bidang termasuk politik kerana kita nak mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam semua bidang.

“Kalau dia perlu bekerja bermakna dia perlu cari orang jaga anak dia. Saya rasa ini adalah masalah utama bagi ibu bekerja kerana kalau tiada kaedah yang sesuai sukar untuk tangani isu ini sukar untuk mereka bekerja dan mempunyai anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Taklimat Kiddocare di Balai Masyarakat Puchong, Taman Puchong Perdana, di sini, semalam.

Bagaimanapun Tze Han berkata, aplikasi Kiddocare turut mampu menjadi salah satu alternatif bagi ibu bapa memastikan anak-anak mereka terjaga semasa mereka keluar bekerja.

Katanya, selain menjadi penyelesaian isu penjagaan anak, Kiddocare turut memberi peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan sampingan masing-masing sebagai pengasuh berdaftar dengan Kiddocare.

“Mereka juga boleh memperolehi pendapatan tambahan dengan mendaftarkan diri sebagai pengasuh di Kiddocare di mana selepas itu mereka akan diberikan latihan sepenuhnya,” katanya.


Pengarang :