NASIONAL

KPWKM bantah perkahwinan bawah umur kanak-kanak

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpendirian tegas menolak perkahwinan bawah umur dan perlu dielakkan ekoran bercanggah dengan prinsip perkembangan kanak-kanak.

Dalam kenyataan media, jurucakapnya berkata, sehubungan itu KPWKM memandang serius perkara itu dan usaha perlu dilakukan bagi mengatasi masalah sedia ada demi masa depan kanak-kanak lebih terjamin.

“KPWKM tegas berpendirian kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi sepenuhnya selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Kementerian menolak sama sekali perkahwinan membabitkan kanak-kanak pada usia terlalu muda lebih-lebih lagi dengan pasangan dewasa,” katanya berkaitan perkara itu khususnya merujuk kes perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dan kanak-kanak 11 tahun di Kelantan bulan lalu.

Pada masa ini, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci dan kementerian menjangkakan ia akan selesai segera bagi membolehkan tindakan perundangan bersesuaian serta tepat dapat diambil ke atas pesalah.

Tegasnya, KPWKM bersama Jabatan Peguam Negara akan memastikan keadilan ditegakkan dan hak kanak-kanak itu disokong.

“Kementerian bersama pihak berkepentingan termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan Wanita dan Kanak-Kanak, beberapa pakar agama dan mufti serta Mahkamah Shariah serta pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sedang memantau status kebajikan kanak-kanak ini dan keluarga.

“Kes ini membuka kepada isu lebih besar membabitkan beribu perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dan ia adalah satu masalah sistematik memerlukan analisis secara terperinci juga penyelesaian kekal,’ katanya.

Sebagai langkah jangka masa panjang, KPWKM berkata, pihaknya sedang dalam usaha bersama Menteri Hal Ehwal Agama di Pejabat Perdana Menteri untuk menetapkan had umur minimum bagi perkahwinan di dalam semua perundangan kepada 18 tahun.

Perkara itu, jelasnya, membabitkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam (Sarawak) 2001, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan undang-undang adat kaum peribumi di Sarawak.

Dalam masa sama, KPWKM mengalu-alukan pengumuman Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai cadangan menaikkan had umur mimimum perkahwinan untuk kanak-kanak perempuan beragama Islam kepada 18 tahun di Selangor dan berharap inisiatif sama dipertimbangkan negeri lain ke arah menyelaraskan had umur minimum perkahwinan di Malaysia.

Selain daripada mengubah perundangan dan polisi, KPWKM berkata, adalah penting untuk memperkasakan pengetahuan ibu bapa mengenai kesan negatif perkahwinan kanak-kanak yang dinafikan hak kesihatan, pendidikan, keselamatan dan perkembangan diri mereka.

“Kita perlu memperkasakan pengetahuan komuniti bahawa praktis perkahwinan kanak-kanak bersandarkan kepada budaya atau adat adalah salah dan pendidikan serta peluang latihan adalah kunci kepada masa depan cerah anak kita.

“KPWKM kini bekerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Ekonomi penting untuk menghapuskan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar serta memberi peluang pemerkasaan ekonomi terutama kepada wanita untuk memastikan keluarga tidak memilih perkahwinan kanak-kanak demi kelangsungan hidup,” katanya.


Pengarang :