SELANGOR

Lebih 300,000 ahli TAWAS direkodkan setakat ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 OGOS: Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) merekodkan 323,186 ahli berdaftar, setakat hari ini.

Menurut laman sesawang rasmi TAWAS, daripada jumlah itu seramai 322,765 ahli masih hidup, manakala 403 sudah meninggal dunia.

Manakala, 128,385 ahli sudah menerima penyata, sementara 194,380 masih belum menerimanya.

Bagi pecahan mengikut bangsa pula terdiri daripada Melayu dengan 223,168 (69 %), diikuti Cina (56,239 atau 17%), India (34,640 atau 11%) dan lain-lain (8,718 atau 3%).

Pendaftaran tertinggi diterima, pada 2015 dengan 44,127 berbanding pendaftaran diterima pada tahun pertama, 2008 dengan 23,842 sahaja.

Bagi tahun ini, sehingga hari ini, seramai 5,954 (2 %) ahli didaftarkan sebagai ahli TAWAS berbanding 11,163 jumlah permohonan.

Diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), TAWAS terbuka kepada kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan permohonan perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun.

Pada 17 Ogos 2015, Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor diluluskan bagi memastikan ahli TAWAS menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.

YAWAS turut memperkenalkan Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM1,500 yang akan diberikan kepada waris jika ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.


Pengarang :