NASIONAL

Malaysia 1 dibida RM1.11 juta

PUTRAJAYA, 24 OGOS: Nombor siri pendaftaran kenderaan khas ‘Malaysia 1′ dibida pada harga RM1,111,111, sekali gus tertinggi pernah dibida dalam sejarah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jualan kesemua nombor khas 1 hingga 10 bagi siri ‘Malaysia’ yang dikeluarkan sempena Hari Kebangsaan adalah RM3.6 juta.

“Setakat ini kerajaan mendapat hasil kutipan tender keseluruhan RM13.16 juta bagi siri nombor pendaftaran khas Malaysia.

“Sebelum ini, berlaku banyak ‘ketirisan’ apabila nombor khas ini hanya diberikan kepada badan bukan kerajaan untuk dijual dengan harga tender RM1 juta.

“Tetapi hari ini kita buktikan dengan hanya nombor 1 hingga 10 sahaja, kita boleh raih RM3.6 juta,” katanya pada sidang media, memetik BHOnline.

Pada masa sama, katanya, hanya nombor pendaftaran Malaysia 2020 tidak ditender kerana dikhaskan bagi kenderaan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, katanya, nombor ‘Malaysia 1’, ‘Malaysia 2’ dan ‘Malaysia 4’ dibida syarikat Aldi International Sdn Bhd.


Pengarang :