SELANGOR

Menteri: Kebakaran tanah gambut, TUDM laksana pembenihan awan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 OGOS: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan kebakaran tanah gambut di Johan Setia, di sini akan diselesaikan secara segera dan bersepadu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya kini mengerakkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pembenihan awam pada petang ini.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengarahkan 40 anggota tambahan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Pihak Berkuasa Tempatan dengan lima pam air, ke lokasi bagi membantu operasi pemadaman.

“Ketika ini fokus kita untuk memadamkan api terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya pencemaran udara bertambah buruk.

“Saya sudah menelefon Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk segera menggerakkan TUDM bagi melaksanakan pembenihan awan.

“Kita jangkakan dalam tempoh tiga jam ia dapat dilaksanakan. Namun, ia bergantung kepada cuaca bagi menghasilkan hujan.

“Selain itu, sebanyak 40 lagi anggota tambahan diarahkan membantu. Sebelum ini, hanya 38 anggota dan tiga pam air digunakan bagi kerja-kerja pemadaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB dan kawasan kebakaran tanah gambut Johan Setia, di sini.

Bee Yin berkata, kekurangan punca air semula jadi juga antara kekangan kerja-kerja pemadaman api dijalankan.

Pada masa sama, katanya, tindakan tegas akan dilakukan kepada individu atau pihak tidak bertanggungjawab memulakan pembakaran itu.

“Mereka boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,000 dan penjara lima tahun jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 29 A Akta Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Isnin lalu, kira-kira 50 hektar kawasan tanah gambut di kawasan Johan Setia terbakar menyebabkan penduduk tidak senang ekoran menghidu asap tebal.


Pengarang :