SELANGOR

Pembangunan Hospital SELGATE Rawang buka peluang pekerjaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

RAWANG, 17 OGOS: Penubuhan Hospital SELGATE Rawang bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya tenaga berkemahiran dalam sektor kesihatan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia pada masa turut membantu rakyat dan kerajaan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan.

Justeru katanya, menerusi pembangunan hospital berkenaan, ia dijangka mampu mewujudkan hampir seribu peluang pekerjaan bagi kategori berkemahiran tinggi, sederhana dan sokongan.

“Dalam aspek peluang pekerjaan yang wujud dalam sektor kesihatan ini juga, ia jelas menunjukkan suatu perubahan dan peningkatan yang sangat signifikan selari peningkatan populasi rakyat.

“Pastinya perkembangan ini amat baik terutama dalam merancakkan lagi kegiatan ekonomi masyarakat tempatan yang secara tidak langsung berupaya menangani masalah pengangguran dakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Perletakan Batu Asas Hospital SELGATE Rawang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, kesihatan rakyat dan pertumbuhan ekonomi mampan menjadi aset terpenting bagi merealisasikan sasaran sebagai sebuah negara maju.

“Justeru, langlah SELGATE Corporation ini bukan sahaja atas faktor peluang perniagaan dan keuntungan semata-mata, malahan ia juga sebagai langkah proaktif syarikat berdasarkan keperluan semasa rakyat.

“Langlah ini amat bertepatan dengan dasar yang saya selalu tekankan iaitu ‘Maju Bersama’,” katanya.

Terdahulu, Hospital SELGATE Rawang merupakan hospital tunggal dibina SELGATE Corporation yang juga sebuah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan dijangka siap pembinaannya pada Disember 2019.

Merangkumi wad pelbagai disiplin, pusat dialisis dan bilik pembedahan berteknologi tinggi (CatchLab), SELGATE dijangka terus melebarkan sayap apabila akan menguruskan operasi di tiga hospital menjelang 2020.

 


Pengarang :