SELANGOR

Pembangunan tiga teras mampu bentuk integriti

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Sifat integriti perlu ditanam dalam diri setiap individu dengan mempraktikkan hubungan baik bersama tuhan, manusia dan alam sekitar supaya ia dapat diterjemahkan menerusi pelaksanaan tanggungjawab termasuk dalam bidang pentadbiran.

Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron berkata, soal integriti itu sudah mula dibicarakan di Malaysia sejak 1980an menerusi pengenalan slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ yang dicetuskan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Integriti adalah sejauh mana kita menilai hubungan kita kepada tiga perkara. Hubungan kita dengan Tuhan, sesama manusia dan alam sekitar. Sekiranya kita mempunyai markah 100, maka kita sudah ada integriti

“Tetapi apakah ia nilai yang ada pada diri kita sekarang? Apabila kita bercakap mengenai integriti kepada diri sendiri, secara umumnya ia akan mengubah segalanya termasuk di peringkat jabatan atau agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen Integriti Kali Ke-5 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Menurutnya, pelbagai perkara sudah dilakukan mengenai usaha memupuk integriti dalam kalangan rakyat tetapi beliau berpandangan ia belum mencapai tahap optimum seperti diamalkan di negara Jepun atau eropah.

Selain itu, amalan integriti mampu mengubah persepsi terhadap sesuatu perkara yang mutakhir ini sering menjadi bahan berita dan disebarkan di media sosial.

Konvensyen Integriti Kali Ke-5 dengan tema ‘Konvensyen Integriti dan tadbir Urus Korporat Terbaik’ menerima lebih 400 penyertaan selain menampilkan beberapa pakar dalam bidang tadbir urus korporat serta ekonomi di Malaysia.

Ia memberikan tumpuan terhadap isu-isu semasa rasuah dan integriti selain penambahbaikan berterusan tadbir urus korporat dalam sektor awam serta swasta.

Perbincangan juga menyentuh pemerkasaan tadbir urus korporat melalui Sistem Pengurusan Anti-Rasuah atau Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO370001, perkongsian amalan terbaik integriti di jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta.


Pengarang :