EKONOMI

Petronas bayar dividen RM24 bilion kepada kerajaan tahun ini

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyemak semula jumlah pembayaran dividen untuk kerajaan kepada RM24 bilion tahun ini daripada RM19 bilion yang diumumkan pada Mac lepas.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata kenaikan itu didorong oleh peningkatan harga minyak serta pendapatan kumpulan berkenaan.

“Pada separuh pertama 2018, Petronas merekodkan perolehan sebanyak RM117.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 8.0 peratus berbanding RM108.1 bilion bagi tempoh sama pada 2017.

“Ini didorong oleh tumpuan berterusan kumpulan ini terhadap usaha memacu kecemerlangan operasi dan pelaksanaan inisiatif penambahbaikan perniagaan, disokong oleh harga komoditi dan margin yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan separuh pertama 2018 kumpulan itu di sini, hari ini.

Pada 2017, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan berjumlah RM16 bilion.

Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 54 peratus kepada RM26.6 bilion berbanding RM17.3 bilion pada separuh pertama 2017.

Wan Zulkiflee berkata Petronas turut menjangkakan purata harga minyak mentah Brent mencecah di bawah US$73 setong menjelang akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, mengambil kira pandangan konservatif untuk perancangan perbelanjaan bagi 2019, kami menjangkakan minyak mentah Brent itu berada sekitar US$66 setong bagi purata tahunan berikutan ketidaktentuan bekalan dan permintaan,” katanya.

Selain itu, mengulas pertikaian membabitkan aktiviti minyak dan gas (O&G) di Sarawak, Wan Zulkiflee berkata Petronas menyerahkan perkara itu kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membincangkan aspek peratusan royalti dan sebarang keputusan susulan akan berpandukan hasil perbincangan tersebut.

Menurutnya, Petronas telah memberi input, implikasi dan senario berkaitan namun tidak terbabit dalam perbincangan berkaitan.

“Bagaimanapun, bagi operasi harian, kami masih berbincang aktif dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) iaitu entiti dilantik oleh kerajaan Sarawak mengenai pengaturan tugas yang dipersetujui bersama oleh semua pihak terbabit.

“Tempoh yang kami ada bagi menyelesaikan perkara ini dengan Petros adalah sehingga akhir tahun depan.

“Ini penting kerana kami perlu memastikan industri minyak dan gas (O&G) Malaysia kekal berdaya tahan dan menjadi destinasi pelaburan menarik untuk syarikat O&G asing,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata kerajaan Sarawak membuat tuntutan terhadap aktiviti O&G dan telah memulakan usaha kawal selia aktiviti berkenaan sejak 1 Julai lepas.

Dalam pada itu, mengulas prospek kumpulan, beliau berkata Petronas akan mengekalkan pendirian berhati-hati dan akan terus meninjau lebih banyak peluang pertumbuhan bagi memastikan kemampanannya untuk tempoh jangka panjang.

“Kami menjangkakan prestasi keseluruhan sehingga akhir tahun adalah sebagai memuaskan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :