EKONOMINASIONAL

Singapura-Malaysia akan umum keputusan bersama bagi RTS, HSR tidak lama lagi

SINGAPURA, 30 OGOS: Singapura dan Malaysia akan dapat mengumumkan keputusan bersama mereka mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada di sini sejak petang semalam (Rabu) dan dipercayai meneruskan perbincangannya dengan Khaw mengenai projek-projek tersebut.

Kedua-dua menteri itu kali terakhir bertemu pada 23 Ogos di Kuala Lumpur selepas mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 11 Ogos.

“Pertemuan dengan menteri Azmin Ali sentiasa mengujakan, menyumbang saran idea bagaimana untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala kita,” demikian catat Khaw yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura dalam laman Facebook beliau hari ini.

“Banyak yang kita boleh lakukan bersama, bagi manfaat bersama. Beliau adalah seorang pemimpin yang bercita-cita tinggi,” kata Khaw dalam catatannya yang turut dikepilkan bersama dua foto beliau dan Mohamed Azmin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :