BERITA UTAMAPELANCONGAN

Tourism Selangor komited laksana Siri Bengkel Fotografi bantu promosi pelancongan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 OGOS : Tourism Selangor dan PCP Publication bekerjasama dengan Taman Botani Negara Shah Alam mengadakan Bengkel Fotografi (Dron) peringkat Selangor, di Taman Botani Negara Shah Alam, di sini, semalam.

Bengkel itu bertujuan memberi pendedahan teknik penggambaran, sekali gus mempromosi kawasan tarikan pelancong, di sekitar Selangor.

Bengkel itu membabitkan penyertaan 30 peserta pelbagai peringkat usia terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi awam serta orang ramai.

Bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 2 petang, bengkel itu dimulai dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Pegawai Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Muhamad Nur Nasrullah dan Penolong Pegawai Penerangan, Seksyen Korporat dan Perhubungan Antarabangsa, Taman Botani Negara Shah Alam, Umi Nadia Marjan.

Antara pengisian bengkel, peserta didedahkan dengan teknik yang betul dan tepat dalam mengabadikan kenangan ketika menerbangkan dron supaya mereka dapat menterjemahkan hasil mantap, di dalam sesebuah gambar atau videografi.

Menariknya, turut terdapat penampilan khas daripada Pakar Penggambaran Dron dan Teknikal, Jonathan Kok, dari DJI & ECSM Sdn Bhd dan Ketua Editor PCP Publication, Kim Teoh, selaku tenaga pengajar.

Setiap peserta juga diberikan sijil penyertaan dan cenderahati daripada pihak penganjur pada akhir bengkel terbabit.

Untuk makluman, Tourism Selangor sudah menganjurkan bengkel fotografi itu untuk tahun kedua dengan beberapa siri bengkel dan kali ini adalah siri kedua.

Terdahulu, siri pertama diadakan Bengkel Fotografi (Kebudayaan dan Warisan) dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, di Istana Bandar, Jugra, pada 22 Julai lalu.

Manakala, siri ketiga bengkel itu pula akan diadakan di Selangor Fruit Valley bertemakan ‘Kehijauan Alam Semulajadi’, pada 23 September ini .

Tema itu bertujuan mempamerkan teknik penggambaran melalui suasana persekitaran flora dan fauna kerana ia sudah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat fotografi, sejak mula dianjurkan.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, Tourism Selangor sentiasa aktif mempromosikan permata baru dan tersembunyi, di negeri itu.

“Tahun demi tahun, kami menambah baik dan menjadi lebih kreatif dalam menarik anak muda tempatan untuk mempromosikan secara tidak langsung tempat dan kawasan tarikan pelancongan selain menelaah ilmu berguna, dalam Siri Bengkel Fotografi ini,” katanya.


Pengarang :