DCIM103GOPROGOPR4691.JPG
PELANCONGANSELANGOR

FAM Trip RKTHW pupuk semangat sayangi Malaysia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 SEPT: Bersempena sambutan kemerdekaan ke-61, Tourism Selangor menganjurkan program ‘Media Familiarization Trip’ dengan mengadakan lawatan ke Royal Klang Town Heritage Walk (RKTHW), di sini, semalam.

Lawatan itu hasil kerjasama Tourism Selangor bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK), Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Lawatan selama satu hari itu bertujuan merangsang semangat kemerdekaan bertemakan “Sayangi Malaysia” dalam kalangan peserta untuk menerokai sejarah awal negara yang banyak terdapat, di daerah itu.

Menariknya, RKTHW itu adalah lawatan jalan kaki berpandu percuma bertujuan menyerlahkan daya tarikan unik Klang, termasuk kawasan tumpuan penjajah, tempat ibadat, sekolah, galeri kerajaan dan gudang yang dibina ketua Melayu tempatan terdahulu.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Tradisi dan Warisan Melayu, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, usaha itu penting mencari keseimbangan antara pembangunan cara hidup moden, infrastruktur, pemuliharaan tradisi, seni bina dan budaya bagi memastikan daya tarikan negeri boleh memainkan peranan utama dalam meningkatkan sektor pelancongan.

“Dengan kerjasama bersama KTMB, kita berharap ia dapat memberi kesan kepada pelancong dengan menggunakan akses mudah dari stesen keretapi Klang ke pusat bandar.

“Kita berharap orang ramai boleh menyertai dan mengalami sendiri perjalanan berpandu secara percuma ini,” katanya yang turut merasmikan program berkenaan.

Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Dato’ Paiman Keromo dan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, dengan memperomosikan budaya dan mewujudkan kesedaran berkenaan RKTHW, ia bukan sahaja membantu meningkatkan status ekonomi rakyat, di daerah Klang sahaja.

“Jika dilakukan dengan tepat mengikut landasan promosi, saya percaya dan yakin acara ini memberi impak besar kepada peningkatan 7.5 peratus bilangan pelancong antarabangsa dan tempatan yang menjadi sasaran tahun ini,” katanya.

Selain memupuk semangat kemerdekaan, Tourism Selangor dan MPK bekerjasama turut memperkenalkan aplikasi mudah alih khas ‘LocoMole’ yang merupakan pemandu pelancong peribadi, pada telefon bimbit peserta.

Aplikasi itu membolehkan pelancong dan penduduk setempat memuat turun secara bebas dan dapat mengetahui tempat menarik di Klang.

Pada masa sama, teknologi itu akan meningkatkan pengalaman pelancong serta memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem pelancongan tempatan, di sekitar Klang.

Menerusi program itu, peserta berpeluang menikmati masakan tradisional Selangor seperti Nasi Ambeng dan Wadai Kepeng.

 


Pengarang :