SELANGOR

Sultan Selangor berkenan pelaburan negeri RM812.6 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan pencapaian pelaburan Selangor bernilai RM812,649,654 bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Baginda bertitah, pelaburan membabitkan 35 projek perkilangan itu merangkumi 53 peratus pelaburan tempatan, manakala 47 peratus adalah pelaburan asing.

“Bagi tempoh Januari sehingga Mac 2018, negeri beta mencatatkan pelaburan RM812,649,654, dengan 35 projek perkilangan diluluskan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018, di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Titah baginda, Selangor kekal menjadi pilihan pelabur, pada 2017 dengan Jepun mencatatkan pelaburan tertinggi, iaitu RM533 juta diikuti Singapura dengan pelaburan RM439 juta.

Sementara China pula mencatatkan pelaburan RM282 juta.

“Statistik ini membuktikan pelabur selesa dan yakin dengan dasar pentadbiran negeri untuk mereka terus melabur dan membuat penambahan pelaburan di Selangor,” titah baginda.


Pengarang :