NASIONAL

Kerajaan setuju lanjut tempoh pekerja asing pegang PLKS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh kebenaran bekerja kepada pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan sudah mencapai penggajian ke-10, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya terhad kepada maksimum tiga tahun dan perlu diperbaharui setiap tahun.

“Pekerja asing berkenaan tidak layak memohon Permit Masuk atau taraf Pemastautin Tetap dan kewarganegaraan Malaysia.

“Pelanjutan tempoh kebenaran bekerja kepada pekerja asing yang memegang PLKS akan dilaksanakan mulai 1 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kulasegaran berkata, kadar levi RM10,000 setahun akan dikenakan dan ditanggung majikan serta hanya dilaksanakan ke atas pekerja asing dalam sektor formal yang dibenarkan sahaja.

Katanya, antara sektor formal dimaksudkan adalah perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian dan perlombongan serta kuari tidak termasuk sektor yang dibekukan dan syarikat penyumberluaran.

“Hal ini bagi membolehkan majikan mengekalkan pekerja asing mereka yang sudah mempunyai kemahiran,” katanya.

Terdahulu, kutipan levi pekerja asing diperkenalkan Kerajaan Malaysia sejak 1992 dan ditanggung sepenuhnya pekerja asing.

Pada 25 Mac 2016, jemaah jenteri bersetuju supaya bayaran levi pekerja asing ditanggung majikan, berkuat kuasa 1 Januari 2018.


Pengarang :