SELANGOR

LZS nafi lambat salur bantuan asnaf

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan bantuan kewangan buat asnaf fakir dan miskin di negeri itu lewat seperti yang diviralkan melalui laman media sosial, baru-baru ini.

Jurucakap LZS berkata, bantuan bulanan dikreditkan ke akaun bank penerima zakat bermula 21 hingga 25 haribulan pada setiap bulan.

Katanya, sehingga kini seramai 24,319 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf sudah disantuni dengan bantuan kewangan bulanan berjumlah RM111,001,600.

“Melalui satu komen dilaman facebook, LZS dituduh tidak menyalurkan bantuan zakat mengikut tarikh ditetapkan, namun setelah semakan dan siasatan terhadap nama asnaf yang diberikan, didapati bantuan bulanan dikreditkan ke akaun bank asnaf itu pada 21 Ogos lepas.

“Untuk makluman, LZS menyalurkan bantuan kewangan bulanan kepada asnaf fakir dan miskin di Selangor melalui dua kaedah iaitu secara kredit ke akaun bank atau melalui tunai,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, seorang wanita di laman facebook menuduh LZS tidak memasukkan wang bantuan pada bulan Ogos, malah dia turut mendakwa aduannya melalui laman facebook LZS tidak dilayan.

Jurucakap LZS berkata, selain bantuan kewangan bulanan, asnaf fakir dan miskin turut menerima bantuan makanan bulanan.

Katanya, terdapat keluarga asnaf yang menerima bantuan sewa rumah, pendidikan anak-anak dan bantuan persiapan hari raya.

“Terdapat juga asnaf menerima bantuan perubatan, bina rumah baru, modal perniagaan, kursus pembangunan, baik pulih rumah, bantuan utiliti tertunggak dan lain-lain bantuan mengikut kesesuainan.

“Bantuan disalurkan berdasarkan kepada syarat dan kelayakan ditetapkan hasil semakan dan siasatan LZS.

“Bagaimanapun, bantuan yang disalurkan ini adalah bersifat meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin dan ia bukanlah bersifat kebergantungan,” katanya.


Pengarang :