SELANGOR

MB: Tutup kilang plastik haram

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 29 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari komited akan menutup kilang plastik haram yang terdapat di Selangor.

Amirudin berkata, beliau akan membuat lawatan selanjutnya dan tindakan menutup kilang terbabit akan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Kita tidak akan berkompromi sama sekali dan akan terus mengambil tindakan segera terhadap kilang haram yang memproses semula sisa plastik.

“Sekiranya ada laporan mengenai kilang itu, kita akan mengambil tindakan dengan segera kerana polisi sangat jelas dan hal ini sudah saya bangkitkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Majlis Perasmian Laluan Baru Bas Smart Selangor di Masjid Jamek Ar Rahimah, Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.

Mengulas sama ada Kerajaan Negeri akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amirudin berkata, pihaknya akan membuat lawatan lanjut dari semasa ke semasa.

Terdahulu, sebuah media melaporkan penduduk di Kuala Langat terutamanya di Telok Panglima Garang terdedah dengan risiko pelbagai jenis penyakit termasuk barah apabila daerah itu dijadikan tempat longgokan plastik kitar semula dari serata dunia.

Namun, Amirudin mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan operasi pemprosesan semula sisa plastik sebaliknya ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.


Pengarang :