AGAMASELANGOR

MBI sumbang RM120,000 bantu institusi Islam Kampung Bukit Bangkong

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 15 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menghulurkan sumbangan RM120,000 kepada masjid, surau dan institut pengajian Islam, di Kampung Bukit Bangkong, di sini.

Sumbangan diserahkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Masjid Al-Ulum, Kampung Bukit Bangkong adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM210,000 diperuntukkan bagi tujuan itu dalam Jelajah Maju Bersama ke daerah Sepang, semalam.

Penyerahan bantuan itu adalah program terakhir siri jelajah berkenaan dengan Amirudin menyertai penduduk tempatan menunaikan solat Maghrib dan Isyak, di masjid terbabit.

Masjid Al-Ulum menerima bantuan RM20,000 manakala Surau Al-Manan, Surau Ar-Rashid, Surau Al-Muttaqin, Surau Al-Falah, Surau Al-Hasan, Surau Az-Zaid, Surau Al-Hidayah masing-masing mendapat RM10,000.

Selain itu, Sekolah Rendah Agama Kampung Bukit Bangkong, KAFAi Ulumuddin serta Pusat Pengajian Al-Quran dan Tahfiz Al-Ulum juga menerima RM10,000 setiap satu.

Sumbangan itu adalah bagi pembangunan dan menggerakkan pelbagai aktiviti keagamaan juga kemasyarakatan oleh pihak berkaitan.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar menyerahkan bantuan sama berjumlah RM90,000 di Masjid An-Nur, Kampung Hulu Chuchoh dan Masjid Ar-Raudhah, Kampung Ulu Teris, di sini.


Pengarang :