EKONOMI

Minyak Sawit Mentah dijangka diniaga dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatat dagangan dalam jajaran kecil minggu depan dengan harga sekitar RM2,130 hingga RM2,170 minggu depan.

Perkembangan itu disebabkan oleh sikap ‘tunggu dan lihat’ peniaga ketika pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, kata seorang peniaga.

Peniaga Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata ketidaktentuan membabitkan konflik itu telah menyebabkan kebanyakan harga komoditi di bawah tekanan dan tidak mampu bergerak lebih tinggi.

“Memandangkan konflik itu terus berleluasa, kita mungkin menyaksikan China beralih kepada Argentina sebagai alternatif mendapatkan kacang soya berbanding AS,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berkata, tahap inventori lebih tinggi juga menjadikan harga komoditi itu rendah berikutan Ogos dan September yang merupakan tempoh kemuncak pengeluaran, terutamanya bagi Malaysia dan Indonesia.

“Namun, memandangkan Deepavali disambut pada November, kita berharap untuk menyaksikan lebih banyak pembelian dicatatkan.

“Lebih-lebih lagi selepas pengumuman cukai duti sifar peratus pada Oktober oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dijangka merangsang minat belian dalam kalangan pedagang khususnya India, Pakistan dan China dalam minggu-minggu mendatang,” katanya.

Teh berkata harga fizikal yang kekal melepasi penanda aras RM2,000 itu masih merupakan sokongan terhadap pasaran MSM berkenaan.

Bagi minggu dagangan yang singkat ini, pasaran tempatan MSM adalah rendah seiring dengan penurunan dicatatkan pasaran soya di Lembaga Dagangan Chicago.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, bulan semasa baharu Oktober 2018 susut RM94 kepada RM2,116 satu tan, November 2018 turun RM96 kepada RM2,126, Disember 2018 merosot RM104 kepada RM2,143 manakala Januari 2019 berkurangan RM112 kepada RM2,173.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 228,370 lot daripada 123,174 lot sebelum ini manakala minat terbuka menokok kepada 310,474 kontrak berbanding 305,584 kontrak, minggu lepas.

Di pasaran fizikal, September Selatan berada pada RM2,130 satu tan iaitu turun RM90 daripada RM2,220 satu tan pada minggu lepas.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :