SELANGOR

Penjawat awam Selangor disaran terap Dasar Pandang ke Timur

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 SEPT: Penjawat awam di negeri ini disaran menerapkan Dasar Pandang Ke Timur dalam diri setiap individu sekali gus, mencipta produktiviti tinggi dan mampu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, sekiranya budaya kerja negara seperti Jepun, China dan Korea Selatan menjadi sumber inspirasi, pastinya Selangor akan mendahuli negeri lain di negara ini.

Katanya, persekitaran dan budaya kerja perlu dipacu secara berinovasi dan disuburkan bermula dipucuk pimpinan atasan terlebih dahulu.

“Ketua-Ketua Jabatan diseru untuk mengambil kira amalan dan budaya kerja seperti ini dan saya yakin ia mampu dicapai berdasarkan potensi dan pembudayaan di negeri ini.

“Saya mahu penjawat awam terus meletakkan tanda aras yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan dan dengan penyertaan dan anugerah yang diterima di pelbagai peringkat mampu membuka mata akan kehebatan negeri Selangor di mata dunia.

“Penjawat awam tidak perlu takut untuk memberikan inovasi kerana sesuatu perubuhan itu wajar dilaksanakan supaya kita tidak terlalu selesa ditakuk lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor 2018 (MPIPANS).

Mohd Amin berkata, sebanyak 42 kumpulan daripada pelbagai jabatan berentap bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM178,000 bagi tahun ini.

Katanya, jumlah penyertaan itu meningkat 50 peratus berbanding tahun lalu menerusi empat kategori yang dipertandingkan membabitkan kategori Penciptaan Bidang Penyampaian Perkhidmatan, Penambahbaikan Bidang Penyampaian Perkhidmatan, Penciptaan Bidang Inovasi Sosial dan Penambahbaikan Inovasi Sosial.

“Walaupun ganjaran yang ditawarkan sama dengan tahun lalu, namun dengan penyertaan ini merupakan bukti kukuh agensi awam komited meningkatkan kualiti penyampaian.

“Selangor merupakan negeri emas dan maju di negara ini. Pastinya cabaran berbeza berbanding negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran itu juga dianggap sebagai penyelesaian mencipta idea kreatif kakitangan menghadapi gelombang revolusi perindustrian 4.0.

 


Pengarang :