SELANGOR

Peratusan rendah, SPR tak puas hati

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sehingga jam 10 tadi didapati hanya pada kadar 15 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pihaknya mahu pengundi yang berdaftar keluar seramai mungkin bagi membolehkan peratusan terbabit terus meningkat.

“Jika ditanya pada SPR berhubung peratusan keluar mengundi hingga jam 10 tadi. Sememangnya kami tidak berpuas hati, tetapi pusat pengundiaan baru dua jam dibuka, maka kita masih tidak boleh buat kesimpulan awal.

“Disebabkan itu, saya menyeru kepada pengundi supaya turun segera untuk menunaikan tanggungjawab,” katanya ketika membuat tinjauan proses pengundi, di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussien Onn 2, Cheras, pagi ini.

Selain pusat berkenaan, Mohamed Elias turut melawat Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Balakong, Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perimbun dan SMK Cheras Perdana.

Pada masa sama, beliau turut berpuas hati dengan proses pengundiaan yang berjalan lancar di semua pusat mengundi, hari ini.

“Saya juga melihat pengundi sudah membuat semakan awal sebelum ke saluran masing-masing. Jadi, ia membolehkan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan.

“Sekali lagi saya nasihatkan kepada pengundi, keluarlah mengundi dengan segera,” katanya.


Pengarang :