NASIONAL

Sambutan Hari Malaysia 2018 berbeza – Mahathir

KOTA KINABALU 17 SEPT: Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini berbeza kerana buat pertama kalinya disambut dengan kerajaan Persekutuan yang baharu dipimpin oleh gabungan parti politik berlainan, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menyaksikan Pakatan Harapan telah menggantikan Barisan Nasional (BN), yang sebelum itu dikenali sebagai Perikatan, telah memerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia sejak merdeka lagi iaitu selama 61 tahun.

“Perubahan ini bukan sesuatu yang kecil. Ini kerana sebelum PRU-14, penganalisis dan pemerhati politik rata-rata mengatakan adalah sukar (menumbangkan BN) malah ada yang mengatakan mustahil untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah bertapak sejak 61 tahun lalu.

“Alhamdulillah, Pakatan Harapan berjaya (menumbangkan BN) walaupun tidak dijangka. Kejayaan ini adalah kehendak rakyat. Ia adalah sejenis “people’s power”- kuasa rakyat.

“Barang siapa membelakangkan rakyat akan menerima nasib sama (dijatuhkan menerusi kuasa rakyat). Justeru, Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah harus memahami hakikat ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka malam tadi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :