SELANGOR

SPRM sangkal dakwaan siasatan bekas ADUN bermotif politik

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan kenyataan kononnya siasatan SPRM terhadap seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini bermotifkan politik.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata tindakan itu dianggap sebagai tuduhan melampau dan melulu yang mencemarkan imej dan reputasinya.

“Ingin ditegaskan bahawa SPRM sentiasa bersikap profesional dalam setiap tindakan khususnya semasa menjalankan siasatan rasuah tanpa membabitkan kecenderungan politik.

Setiap penahanan dilakukan SPRM bertujuan menjalankan siasatan berdasarkan asas kukuh dan bukan bersifat politik,” katanya.

Menurutnya SPRM juga sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan negara sedia ada semasa menjalankan siasatan termasuk berkaitan penahanan dan hak seseorang individu di lokap.

Katanya SPRM sentiasa komited menjalankan tugas dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu atau organisasi.

Oleh itu, SPRM menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita yang tidak sahih menggunakan nama suruhanjaya itu kerana tindakan tersebut akan menjejaskan imej SPRM sekali gus merencatkan usaha membersihkan negara ini daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pada 3 Sept lepas, SPRM menahan seorang bekas ADUN Selangor daripada PAS bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa berjumlah lebih RM50,000.

Bekas ADUN itu didakwa melantik sebuah syarikat sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat ​​​​​​Dewan Undangan Negeri yang mana syarikat tersebut adalah milik anaknya, sekitar 2015 hingga 2018.

Bagaimanapun, satu mesej yang tular di aplikasi WhatsApp, mendakwa siasatan itu bermotifkan politik selain mempersoalkan layanan yang diberikan oleh SPRM kepada bekas ADUN itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :