SELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor berduka insiden bunuh kucing dalam pengering

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 SEPT: Bukan sahaja rakyat jelata, bahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap kes penganiayaan kucing yang dibunuh menggunakan mesin pengering pakaian, baru-baru ini.

Baginda menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa.

“Sifat kemanusiaan seolah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sedang sarat mengandung.

“Masyarakat harus peka kerana haiwan juga ada hak dan dilindungi di bawah undang-undang serta tidak seharusnya berlaku penderaan juga penganiayaan sewenang-wenangnya terhadap haiwan khususnya haiwan peliharaan,” titah Baginda melalui kenyataan dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor (SFS) turut menghantar surat secara rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS).

Melalui surat berkenaan, baginda menggesa DVS mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku yang terbukti bersalah supaya perbuatan seumpamanya tidak berulang lagi.

Titah baginda lagi, di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan menyatakan mereka yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya.


Pengarang :