SELANGOR

Tiada projek Rumah Selangorku terbengkalai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 SEPT: Tiada projek Rumah Selangorku terbengkalai sehingga 15 Ogos lalu, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Katanya, perkara itu disemak melalui Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Jika terdapat masalah kelewatan, kita akan mengikut Akta 118 iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1996 (Akta 118).

“Kerajaan Negeri juga akan terus berhubung dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku badan pengawal atau pemantau jika ada aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi yang meminta penjelasan berhubung dasar dan usaha Kerajaan Negeri bagi membantu pembeli yang berdepan masalah kelewatan oleh pemaju.

Haniza yang juga ADN Lembah Jaya berkata, Kerajaan Negeri akan menjadi pemudahcara jika terdapat kelewatan daripada pemaju swasta.

Katanya, antara langkah diambil termasuk pihaknya akan mencari pemaju berminat untuk meneruskan projek terbengkalai itu.

“Salah satunya adalah kes di Selayang, ada projek lebih daripada 15 tahun terbengkalai, kita sedang berusaha memajukan kembali projek berkenaan,” katanya.


Pengarang :