SELANGOR

Umat Islam diseru singkap kembali hijrah Rasulullah SAW

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1440H, umat Islam diseru menyelami dan menghayati kembali kisah di sebalik penghijrahan serta perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam lebih 1,400 tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, perjuangan baginda dalam mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar sebaik tiba di Madinah menjadi bukti tertubuhnya negara Islam, sekali gus mengangkat darjat Islam ke tahap lebih tinggi.

“Kehidupan kita sebagai umat Islam adalah lebih bermakna jika kita dapat menyelami dan menghayati rakaman hijrah Rasulullah SAW yang banyak memberi nilai dan pengajaran.

“Justeru, kita seharusnya mengambil iktibar merenung kembali diri sendiri dan menilai amalan sepanjang hidup kita daripada kisah itu.

“Semoga kita dapat berhijrah ke arah kebaikan, penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, selain memperkukuhkan kecintaan kepada junjungan besar Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor di Dewan Solat Atas, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1440 Hijrah/2018 Masihi, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan beberapa pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Selaras dengan tema diangkat bagi sambutan Maal Hijrah 1440H iaitu ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, Mohd Amin berkata, ia bertepatan dengan komitmen dizahirkan Kerajaan Negeri yang mahu memastikan seluruh rakyat mengamalkan nilai murni melalui jalinan hubungan silaturrahim dan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

“Perasaan kasih sayang perlu disebarkan dalam kalangan umat Islam tanpa mengira agama dan bangsa supaya dapat membentuk jalinan ukhwah seterusnya melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

“Kita juga perlu mengenepikan semangat asabiyyah dan perasaan hasad dengki untuk memastikan ukhwah serta muafakat terus kukuh, sekali gus menjadi contoh teladan kepada penganut agama lain.

“Saya berharap semua masyarakat di Selangor sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dan bersatu padu serta menerapkan semangat ukhwah bagi menjamin keutuhan umat,” katanya.

 


Pengarang :