Selangorkini
SELANGOR

Danial Hakim azam perbanyak terjemahan al-Quran bahasa cina

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Penerima Anugerah Tokoh Saudara Baru, Danial Hakim Boey, 56, berazam memperkenalkan lebih banyak terjemahan al-Quran dalam bahasa cina, khususnya kepada masyarakat cina yang berminat mendalami Islam.

Penceramah bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu berkata, beliau kini sedang memberi fokus sepenuhnya terhadap projek menyiapkan terjemahan al-Quran dalam bahasa Mandarin, dengan kerjasama Balai Seni Islam Yayasan Restu Shah Alam.

Katanya, usaha itu diambil bagi memberi penjelasan dan penerangan terperinci kepada golongan cina, supaya mereka benar-benar memahami dengan lebih dekat, konsep serta ajaran dipraktikkan dalam Islam.

“Kita harus mendorong dan membimbing mereka untuk banyak kaji tentang Islam dengan pada masa sama kita sebagai orang Islam perlu sentiasa berusaha bersama menambahkan ilmu.

“Jika seseorang cina yang memahami Islam, sebenarnya dia lebih mendekati pencipta mereka sendiri, disebakan salah faham sejak turun-temurun, saya berharap usaha ini akan dapat memberi mereka lebih penjelasan berkenaan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440 Peringkat Selangor di Dewan Solat Atas, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Pada masa sama Danial berkata, penganugerahan diterima itu menjadi pendorong untuk beliau terus menabur bakti dan kebaikan, terutama dalam memimpin lebih ramai masyarakat cina mengenali Islam.

“Saya harap mereka dapat menukar ‘mind set’ bahawa Islam bukan untuk Melayu sahaja, tetapi untuk menyeluruh,” katanya.

Beliau yang dilahirkan dalam keturunan cina pada 5 Mac 1962 di Ipoh Perak melafazkan syahadah pada 23 Januari 1989 ketika berusia 27 tahun.

Setelah memeluk Islam, beliau pernah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, Islamic Research Foundation (IRF) Mumbai dan Institut Personal Management.

Beliau kemudian bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga dengan Norizam Diman yang banyak memberikan bimbingan kepadanya, dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Selain fasih dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, Danial juga pandai dalam pertuturan bahasa ibunda Cina dan Kantonis.

Danial Hakim juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Selangor selama tiga tahun termasuk Ahli Jawatankuasa MACMA Pusat, Panel Penasihat Akidah Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Beliau banyak mengadakan kelas pengajian khususnya bimbingan kepada muallaf beberap pusat di Kajang, Selayang, Jalan Ipoh, MACMA dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Hasil penglibatan aktif, beliau menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi Maal Hijrah, set sepersalinan pakaian, sijil penghargaan dan pakej mengerjakan umrah.


Pengarang :