SASTERA

Anganbayangan

Oleh Azrin Fauzi

YANG hancur dan semakin hancur dikunyah gua itu tubuh si ibu – bukan bayangnya. Tatkala gema dari masa lalu – retak tengkorak! – memecah dari celahan rahang gua, bayang-bayang si ibu turut merajuk, meninggalkan tubuhnya untuk ke dalam ceruk. Waktu telah menyesatkan aku, menemukan aku dengannya di penjuru terdalam itu.

Dan aku ingin buat pengakuan: aku turut terpisah daripada tubuhku sewaktu ia lari meninggalkanku dahulu kerana terkejut – dan terlalu takut – oleh gempita dari gua yang maha dahsyat ini. (Jikalau engkau terserempak dengan sesiapa yang tidak berbayang, berjalan di sekitar kota di dada Pulau Szago itu, atau di mana-mana, ketahuilah ia tubuhku. Bisiklah ke telinganya: Bayang-bayangmu amat merinduimu.) Mungkin pernah engkau dengar, “Janganlah terlalu bergantung pada sesiapa di dunia ini. Kerana bayang-bayang kita sendiri pun akan meninggalkan kita di dalam gelap.” Dan mungkin engkau tersilap. Kerana di dalam gelap, kami masih ada. Masih ada.

“Sudah berpisah dengan tubuhmu?” soal si ibu dengan suara yang tidak melantunkan gema seraya meliuk lentok pada dinding gua yang serba gelita.

“Kerana gua inilah,” jelasku serta melarikan sentuhan ke permukaan dinding gua yang kasar lagi mendinginkan, “Kerana lukisan-lukisan ini.”

Tatkala tubuhku dan arkeologis yang lain semakin ghairah menggali sejarah sendiri, si ibu ini telah pun temui masa lalu-kini-hadapan kita semua. Gua inilah segala-galanya, dengan lakaran dan contengan hitam figura, geometri, dan binatang. Tanpa sebarang kesan jari, kesemuanya dilukis dengan arang. Kesemuanya seolah-olah bayang-bayang.

Ingin kuberitahu tubuhku, namun si ibu mengatakan itu kerja sia-sia. Lalu bergentayangan di depanku, memekat pada permukaan dinding yang tidak rata, merenyukkan beberapa bahagian bayangnya. Terpaksa kutelan kata-kata kelatnya itu. Tubuhku… masihkah ia ingat kepadaku? Kerana telah terlalu lama, barangkali aku juga sudah tidak mengenalinya. Barangkali ia juga telah tiada. Seperti tubuh si ibu di rahang gua itu; bukankah tubuh sering ditewaskan waktu?

Dari dalam gua ini, apa-apa yang di luar sana sudah tidak lagi nyata. Seperti mana bebayang yang meliuk di depan tubuh-tubuh yang terbelenggu kakinya sejak dilahirkan itu, di dalam gua beribu-ribu tahun dahulu, kerana ingin beritahu perihal apa-apa yang di belakang mereka di luar sana itulah yang palsu.

Aku menggaru-garu kekeliruan yang menumbuh lebat di kepalaku. Kata-kata si ibu tadi masih terngiang-ngiang: Bebayang pada dinding bukanlah beria-ia ingin beritahu tubuh-tubuh yang terbelenggu. Bebayang itu ingin menyedarkan bebayang pada lantai yang terbelenggu dek tubuh-tubuh itu. Inilah yang bergaung dalam gua fikirku sepanjang langkah mengharung kegelapan. Yang dihitam-pekatkan lagi dengan seribu satu bayang.

Mungkin benarlah ia berlaku sebaliknya; mereka berlari bila kita yang berlari; berjalan bila kita yang berjalan; merangkak bila kita yang merangkak; dan berbaring bila kita yang berbaring.

“Sebelum diam mengerekotlah masing-masing,” seloroh yang entah dari mana datangnya. Tercari-cari juga suara daripada segala gemalai bayang di sekelilingku. Segalanya senyap dalam keramaian yang sunyi.

Haruskah kuberitahu bayang-bayang di luar sana? Di celah-celah ceracak batu yang meruncing ke atas, ke bawah, ada gema titis air yang menebuk kesunyian. Tidak semena-mena aku memanjang ke belakang. Bilamana di depan, dari suatu rekahan, segaris cahaya merodok lantai gua. Lantas kutinggalkan ruang itu, memendek kembali ke depan. Tubuh…?

“Usahlah bayang-bayang disangka tubuh,” celah suatu suara.

Tuan Evans? Tidak kusangka bayangmu di sini! Betapa tubuhku tidak pernah berenggang dengan tulisan-tulisan arkeologimu. Juga sebuah makalah berjudul “Kempunan” (1920) itu. Segera aku hentikan gerak fikirku di tengah-tengah kelengangan yang menyatu dengan gelap gua ini.

“Tuan Evans, bagaimana dengan bayang-bayang di luar sana?”

“Bayang-bayang di luar sana takkan mempercayai kata-kata(karut)mu. Terus saja diam di sini. Lupakan apa-apa yang di luar sana.”

Mampukah aku menanggung beban kerinduan jika lukisan yang menyeluruhi gua ini makin membuatku teringat-ingat kepada tubuhku? Oh, tubuhku. Jikalau boleh kukembali kepadanya. Aku mahu keluar dari gua ini. Aku benar-benar merinduinya. Melihatnya begitu asyik dengan kerja-kerjanya.

Ada pengakuan yang ingin kubuat lagi: tubuhku tidak sempat membisikkan sesuatu kepadaku yang akan menjadi rahsia kami berdua. Sewaktu tubuhku ralit membidik lakaran dan contengan pada dinding gua dengan kameranya; dari suasana keriangan dalam sebuah keluarga, pelanduk, kura-kura, dan perahu sehinggalah figura bertangan empat serta berekor; tatapanku terus tertancap tajam ke arah lukisan yang berturutan ke dalam kerongkongan gua – ditelan kegelitaan. Bahan yang digunakan untuk melukis dikatakan tidaklah serumit hematit atau tanah liat merah yang diadun dengan liur atau lemak binatang – hanya arang. Daripada sisa api dan cahaya yang dianggap telah merabunkan bayang-bayang. (Adakah cahaya daripada denyar kamera atau lampu kepalanya itu yang makin mengaburkan pandanganku?) Seakan ada sesuatu. Tetapi detik tubuhku mahu berbisik kepadaku itulah gempita dari rahang gua menggila.

Aku tinggalkan Tuan Evans sebelum merangkak masuk ke dalam suatu lohong. Sesekali siku dan lututku bergeser dengan batu. Sesekali aku tercarik dek gerutunya yang ngilu. Untuk masuk dahulu tidaklah sesukar keluar. Sempit dan semakin sempit. Dan aku dilarutkan dengan cahaya lemah yang disorot dari hujung sana, dari rahang gua. Aku kenal cahaya itu, benar-benar kenal – tubuhku!

Ia terbaring lemah tidak ke mana kerana kakinya tersepit – pecahkah buku lali? – di rekahan batu, membiru. Sudah berapa lamakah ia di situ? Sungguh, aku tidak dapat berbuat apa-apa. Kelesuan langsung membuatku terbaring di sebelah tubuh yang letah-letai itu, menggeletar. Dan dingin mengerekotkan aku, mendekatkan wajahku kepada wajahnya, menghembus debu kematian yang menebal. Dari dalam matanya yang luyu itu, hanya terbit dua kata: musnahkan matahari.

Lalu kumatikan lampu di kepalanya.

Tentulah cerita ini tidak patut dipadamkan di tubuhku, ditamatkan dengan ketidaknyataan. Sememangnya aku merinduinya. Amat merinduinya. Tetapi… ada pertanyaan yang lupa untuk kuaju kepada si ibu; adakah dia turut merindui tubuhnya? Rindukah dia akan kedua-dua anaknya? Atau barangkali dia sekadar mengingatkan: jika datang ke dalam gua ini, janganlah dibawa lagi telur tembakul – bawa sahaja bayangnya.


Pengarang :