NASIONAL

Audit dalaman FINAS sedang berlangsung-Gobind

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BESI, 11 OKT: Kerajaan menafikan pertukaran Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Fauzi Ayob dan Timbalannya, Datuk Azmir Saifudin Mutalib mempunyai kaitan dengan isu penyelewengan dana yang sedang disiasat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pertukaran itu dibuat selaras hasrat penstrukturan semula FINAS seperti diumumkan sebelum ini, memandangkan badan perfileman terbabit berdepan masalah kewangan dan amalan sistem kewangan.

“Kita sudah mulakan audit dalaman dan ia membabitkan banyak akaun serta mengambil masa.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita dalam proses penstrukturan semula dan saya akan umumkan pasukan baru dalam masa terdekat.

“Pertukaran Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan audit dalaman yang sedang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Sidang Kemuncak Keusahawanan e-dagang anjuran Malaysiakini, di Royal Ballroom, Palace of The Golden Horses.

Gobind berkata, hasil laporan audit dalaman akan diumumkan kelak selepas ia selesai sepenuhnya, sementara sebarang bentuk tindakan susulan seperti laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis turut akan dibuat kemudian jika perlu.


Pengarang :