EKONOMINASIONAL

Bursa Saham dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Harga saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, walaupun prestasi bercampur dilihat di pasaran serantau susulan sektor pembuatan China yang perlahan, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.44 mata kepada 1,796.59 daripada 1,793.15, pada Jumaat lalu selepas dibuka tinggi 2.84 mata kepada 1,795.99.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 119, berbanding 63 dengan 128 tidak berubah, 1,538 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 587.93 juta unit bernilai RM18.02 juta.

Public Investment Bank Bhd bagaimanapun berkata, bursa tempatan boleh menjadi mendatar kemudiannya susulan gambaran bercampur di Wall Street, pada Jumaat lalu.

“Ini selepas hasil bon Itali mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima tahun apabila kerajaan memperkenalkan pelan untuk meningkatkan perbelanjaan awam dan mencadangkan defisit bajet 2.4 peratus, membawa kepada percanggahan dengan EU,” katanya.

Sementara itu, peniaga berkata, dengan harga minyak global yang kini diniagakan melebihi US$80 setong, diharapkan ia dapat memberi sokongan kepada sentimen belian di bursa.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.78, Public Bank meningkat dua sen kepada RM25.02, Tenaga menambah lapan sen kepada RM15.54 dan Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM9.40.

Bagi saham aktif, Borneo Oil meningkat setengah sen kepada enam sen, Iris Corporation naik satu sen kepada 15.5 sen, Hibiscus Petroleum menambah tiga sen kepada RM1.29 manakala Priceworth International tidak berubah pada 4.5 sen.

Indeks FBM Ace naik 18.79 mata kepada 5,405.48, FBM 70 meningkat 4.12 mata kepada 14,877.38 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 10.27 mata kepada 12,688.83.

Indeks FBM Emas naik 5.09 mata kepada 12,538.31 dan Indeks FBMT 100 meningkat 1.39 mata kepada 12,338.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 12.96 mata kepada 17,786.49 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.40 mata kepada 177.96, bagaimanapun Indeks Perladangan merosot 22.82 mata kepada 7,517.12.

Sumber: BERNAMA


Pengarang :