SELANGOR

#Datumhomesforall kukuhkan komuniti Orang Asal

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Anak Syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), DatumCorp International Sdn Bhd (DatumCorp), melancarkan kempen #DatumHomesforAll bagi mengukuhkan pembangunan komuniti khususnya Orang Asal.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, ia sekali gus menjadikan DatumCorp sebagai pemaju pertama dalam mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung seimbangan komuniti Orang Asal di negeri itu.

Katanya, ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diperkenalkan melalui permainan mudah alih pertama di Malaysia iaitu Datum Tap.

Beliau berkata, selain CSR itu, pemaju juga menawarkan pemilikan kediaman dan pelabur menerusi empat pakej unik sebagai meraikan pelancaran inisiatif CSR terbabit.

“Empat pakej itu ialah The Voyager Pack, Wealth Boost Pack, Bloominh Pack dan Pro-C Pack yang mana ia direka untuk memenuhi keperluan unik pembeli individu.

“Ia bagi membolehkan pelabur dan bakal pemilik kediaman ditawarkan dengan lebih nilai apabila menjadi sebahagian daripada komuniti Datum Jelatek.

“Idea baru yang diteroka ini ternyata bukan sebuah platform yang biasa digunapakai oleh mana-mana organisasi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DatumCorp International Sdn Bhd dan Epic Homes dan Pelancaran Datum Homes For All, di Datum Galleria, Taman U-Thant, di sini.

Norita berkata, projek sulung itu dikenali Datum Jelatek direncanakan dengan hasrat merapatkan komuniti pelbagai jaringan kemudahan dalam setiap inci binaannya.

Katanya, projek itu terdiri daripada 708 unit kediaman, dan pusat membeli belah empat tingkat seluar 317,000 kaki persegi serta dihubungkan terus ke rangkaian pengangkutan awam.

“Menerusi projek ini, ia bakal menyaksikan sebuah ikon baharu hab sosial dan perniagaan yang memenuhi aspirasi dan inspirasi di kota Kuala Lumpur menjelang 2020.

“Melihat kepada pelaksanaan gamification Datum Tap ini, saya bangga apabila DatumCorp bersama rakan strategiknya iaitu Epic Homes meneroka kaedah komunikasi baru untuk memperkasakan jenama menerusi aplikasi telefon bimbit,” katanya.

Pada masa sama, Norita berkata, sebagai sebuah entiti di bawah Kerajaan Negeri, PKNS akan sentiasa menyokong penuh gagasan Smart Selangor yang meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai satu keutamaan.

“Pelbagai pendekatan diambil bukan sahaja oleh PKNS malah, anak-anak syarikat bernaung.

“Buktinya, menerusi sebuah sinergi yang diwujudkan ini, ia akan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai komuniti Orang Asal dan seterusnya membina kediaman untuk mereka,” katanya.

Datum Jelatek merupakan projek pembangunan bersepadu transit yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.2 juta.

 


Pengarang :