NASIONAL

DEB perlu diperkasa bersesuai keperluan semasa

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kerajaan berpendirian pelaksanaan dasar dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih kekal relevan malah akan terus diperkasakan melalui dasar-dasar baharu yang lebih strategik bersesuaian dengan keperluan semasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masih terdapat ruang untuk ditambah baik terutama melibatkan kepentingan Bumiputera serta kaum-kaum yang lain di Malaysia supaya proses pelaksanaannya lebih telus dan bertanggungjawab.

“Sebagai Kerajaan yang peduli rakyat, pengagihan ekonomi mestilah dilakukan secara adil kepada semua rakyat mengikut keperluan masing masing.

“Dalam langkah kerajaan meneliti semula dasar-dasar utama negara, pembangunan sosioekonomi Bumiputera tetap menjadi agenda penting tanpa meminggirkan kaum-kaum lain di negara ini.

“Dalam hal ini, usaha berkaitan akan diteruskan khusus membangunkan potensi bumiputera bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi negara dan seterusnya mencapai matlamat pengagihan kekayaan yang lebih saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Menyentuh persoalan perancangan mikro dan makro untuk menggerakkan ekonomi bumiputera termasuk orang asal, bumiputera Sabah dan Sarawak, Mohamed Azmin menjelaskan perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada sesi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11), Khamis ini.


Pengarang :