BERITA UTAMASELANGOR

Kaji keperluan Hospital Selayang

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 26 OKT: Kerajaan Negeri akan mengkaji dan menyalurkan keperluan di Hospital Selayang bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, di situ.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun ia berpandukan bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana hospital berkenaan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan.

“Hospital Selayang antara hospital utama di Selangor dan saya kira Kerajaan Persekutuan boleh menyalurkan peruntukan bagi tujuan ini.

“Kita sebagai Kerajaan Negeri akan melihat apa isu berkaitan hospital ini yang boleh dibantu, mungkin bukan dalam bentuk kewangan tetapi mengkaji sokongan boleh diberikan,” katanya kepada media sempena lawatan ke Hospital Selayang, di sini, hari ini.

Lawatan ke hospital itu adalah salah satu program sempena Jelajah Maju Bersama ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata, Hospital Selayang adalah antara hospital utama dan maju, di Selangor serta Malaysia selain menjadi tumpuan orang awam juga rujukan hospital lain, di negara ini.

Katanya, lawatan itu memberi gambaran terhadap beberapa kemudahan yang perlu dipertingkatkan kerana Hospital Selayang juga antara hospital yang agak lama, di Selangor.

“Meningkatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan adalah antara perkara yang saya tekankan ketika menerima pelantikan sebagai Dato’ Menteri Besar selain perumahan, alam sekitar dan pendidikan.

“Kita mempunyai banyak hospital di Selangor, namun sebahagiannya mempunyai kemudahan yang perlu dipertingkatkan dan Hospital Selayang adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pengarah Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim dan Pengarah Hospital Selayang, Dr Siti Zaleha Mohd Salleh.


Pengarang :