NASIONAL

Kerajaan akan mansuh pengambilan pekerja asing melalui ejen

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT : Sistem pengambilan pekerja asing melalui ejen atau syarikat tertentu akan dimansuhkan, kata Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tujuan ia dimansuhkan untuk mengelakkan perkara tidak diingini yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini, antaranya perlakuan tidak adil kepada pekerja dan kes pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, lebih kurang 100 syarikat berperanan menguruskan pekerja asing digunakan oleh KDN itu, akan diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta bawah Kementerian Sumber Manusia (MOHR).

“Kita membuat keputusan untuk tidak mahu meneruskan program ‘outsourcing’ yang kini diuruskan KDN sebaliknya ia diserahkan kepada MOHR menerusi Agensi Pekerjaan Swasta kerana ada akta khas supaya ia lebih terurus dan mematuhi undang-undang.

“Semua syarikat itu diberikan suatu tempoh yang akan ditetapkan nanti untuk menempatkan pekerja asing di bawah tanggungan mereka kepada majikan dan sektor tertentu, sebelum pemansuhan itu berkuat kuasa sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing dengan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran di Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu, Kula Segaran berkata, Jawatankuasa itu turut bersetuju melaksanakan sistem levi pelbagai peringkat atau ‘multi-tier’ dalam pengambilan pekerja asing seperti dilaksanakan Singapura, selewat-lewatnya tahun depan.

Katanya, melalui sistem itu jumlah bayaran levi akan ditetapkan berdasarkan jumlah pekerja asing yang digajikan majikan berkenaan.

“Makin ramai pekerja asing yang digajikan makin tinggi levi dikenakan kepada majikan.

“Kadar peningkatan itu belum diputuskan, namun ia ditetapkan secara berbeza-beza mengikut industri berlainan,” katanya.


Pengarang :