AGAMASELANGOR

Nota Persefahaman JAIS dan finalis PM, lahir pendakwah berkualiti

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menandatangani nota persefahaman bersama finalis Pendakwah Muslimah (PM) bagi melahirkan pendakwah berkualiti dan menjalankan aktiviti dakwah mengikut garis panduan ditetapkannya.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya akan memberikan pendedahan dan pendidikan khusus kepada semua PM yang terbabit dalam program itu bagi mencapai matlamat program berkenaan.

“Tujuan asas ialah bagi memberi garis panduan kepada mereka supaya menjalankan aktiviti dakwah dengan cara betul di mana kita mahu melahirkan pendakwah berkualiti, berketrampilan dan mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kita akan memberi pendidikan khusus kepada mereka bagi tujuan berkaitan,” katanya kepada media selepas Majlis Meraikan PM4 dan Menandatangani Nota Persefahaman antara JAIS dan Finalis PM di sini, hari ini.

Dengan perjanjian termeterai, semua finalis akan menjadi wakil JAIS dalam usaha mengembangkan dakwah agar lebih subur hingga ke seluruh Selangor melalui program disusun.

Nota Persefahaman berkuatkuasa selama dua tahun itu diharap dapat membantu JAIS melahirkan lebih ramai pendakwah di kalangan muslimah yang realistik dan memahami realiti serta cabaran semasa dalam teras ‘dakwah rentas sempadan’.

Haris berkata, menerusi program latihan diikuti semua PM akan mampu memantapkan persembahan dengan penerapan acuan dakwah ditetapkan JAIS.

Katanya, ia satu langkah bagi memberikan nilai tambah kepada mereka supaya dapat meneruskan usaha dakwah dengan berkesan.

“JAIS mempunyai lebih 400 program dakwah dijalankan di seluruh Selangor yang boleh disertai mereka di sepanjang tahun.

“Kita juga boleh mendapat input daripada PM mengenai semua perkara berkaitan program dakwah dan berkongsi idea demi kebaikan bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAIS yakin program PM memasuki musim keempat diteruskan lagi pada masa akan datang dan akan mendapat liputan lebih meluas.

Dalam majlis itu juga diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang PM iaitu juara, Raudhatul Jannah Mohd Rozli; naib juara, Nurul Amirah Mohd Azmi dan pemenang ketiga, Noor Hidayah Adzman serta pemenang sagu hati.


Pengarang :