NASIONAL

Kerajaan Negeri tidak setuju pusat swasta jadi One Stop Centre

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan pemilik sebuah pusat pendidikan khas kononnya peruntukan Program Intervensi Awal (EIP) yang diterimanya dipotong.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri menetapkan garis panduan bahawa pemberian kali pertama adalah RM100,000, kedua RM50,000 dan RM30,000 bagi kali ketiga.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan golongan istimewa berkenaan lebih lagi soal pendidikan.

“Tidak timbul isu pemotongan. Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan terbabit bukan sahaja kepada pemilik pusat berkenaan tetapi beberapa pusat lain.

“Ia merupakan peruntukan ‘one off’ yang diberikan selama tiga tahun. Ia merupakan sumbangan bukan janji dalam bentuk selama-lamanya,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Mariah berkata, pemilik pusat berkenaan pernah mengutarakan permintaan untuk menjadikan pusatnya sebagai ‘one stop centre’ pendidikan khas namun, Kerajaan Negeri tidak bersetuju.

“Kerajaan Negeri tidak setuju untuk mengambil pusat swasta untuk dijadikan ‘one stop centre’.

“Kita melihat beberapa kekangan kerana ia bukan milik kerajaan antaranya dari segi pemantauan peruntukan dan lain-lain.

“Jika kita bagi RM1.5 juta, bagaimana dengan pusat swasta yang lain?,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri komited meneruskan program berkenaan pada tahun ini dan mengalukan permohonan baru dari institusi layak.

RM3 juta diperuntukkan tahun ini berbanding RM1.8 juta pada tahun lalu.

Program EIP itu bertujuan menyediakan pendidikan dan perkhidmatan terapi yang diperlukan oleh kanak-kanak keperluan khas seperti fisioterapi, occupational therapy, speech therapy dan hydritherapy.

Sebelum ini, Pengarah dan Pelakon yang merupakan pemilik pusat berkenaan menghentam Kerajaan Negeri menerusi laman sosial Instgram dan Twitter.

Beliau mendakwa Kerajaan Negeri bertindak memotong peruntukkan EIP dan tidak mempedulikan nasib kanak-kanak istimewa berkenaan.


Pengarang :