EKONOMINASIONAL

Persidangan pelaburan kerajaan sebagai intipati kepada Bajet 2019

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan akan mengadakan satu persidangan pelaburan bertemakan ‘Malaysia: Satu Era Baharu’ bagi menyampaikan aspirasi jangka pendek dan panjangnya.

Persidangan akan diadakan pada 9 Okt depan di Hotel Shangri-la di sini, acara itu juga bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap kerajaan Malaysia yang baharu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan, berkata persidangan ini bertujuan untuk mewujudkan peluang perkongsian bersama pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap penemuan, matlamat dan pendekatan kami dalam menyelesaikan cabaran khususnya isu-isu berkaitan fiskal yang telah dikenal pasti.

“Ia juga akan menyumbang kepada intipati dalam pembentangan Bajet 2019 yang dijadualkan pada 2 Nov ini,” katanya.

Acara tersebut dianjurkan secara bersama dengan kumpulan-kumpulan perbankan Malaysia seperti Malayan Banking Bhd, CIMB Group Holdings Bhd dan RHB Banking Group.

Lim berkata kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan telah berjaya menanamkan keyakinan dalam pengurusan ekonomi, sektor kewangan dan pasaran modal walaupun menghadapi isu-isu fiskal yang teruk disebabkan oleh hutang berjumlah RM1 trillion yang ditanggung oleh kerajaan persekutuan.

“Cabaran ini merangkumi penyeimbangan perdagangan dalam keadaan defisit fiskal dan penjanaan semula pertumbuhan ekonomi yang mampan – pertumbuhan yang amat diperlukan bagi meningkatkan gaji, mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan dan membaiki keseimbangan kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Persidangan ini akan menghimpunkan wakil-wakil daripada kerajaan, pihak-pihak berkepentingan industri sama ada tempatan serta luar negara, untuk membincangkan daya tahan serta kemampanan ekonomi, sosial dan politik baharu Malaysia.

Perkara lain yang akan diperkatakan termasuk infrastruktur mampan, komoditi pertanian, perumahan mampu milik dan sosio-ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan persidangan itu serta menyampaikan ucap utama manakala Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menutup acara.

Selain Lim, penceramah lain terdiri daripada Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking; Menteri Tenaga, Teknologi dan Sains Yeo Bee Yin dan Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Persidangan ini dijangka akan dihadiri oleh seramai 2,000 pengurus dana, pelabur, pegawai bank termasuk pemimpin korporat Malaysia dan dari seluruh rantau.

Program turut memasukkan sesi pleno dengan menteri, ahli parlimen, pemimpin syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan pakar peneraju industri.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :