NASIONAL

Kerajaan sedia terima teguran pembangkang bangun negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bersikap terbuka dan bersedia menerima pandangan juga kritikan daripada pembangkang demi membina sebuah negara lebih baik pada masa depan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bersesuaian dengan amalan demokrasi, pembangkang perlu memainkan peranan lebih efektif membantu kerajaan dalam perkara berkenaan.

“Peranan pembangkang dalam Dewan Rakyat cukup penting untuk menegur dan memberi pandangan kepada kerajaan supaya tidak terbabas dan berada pada landasan betul.

“Mungkin rakan di pembangkang baru belajar dan kita perlu memberi mereka sedikit masa untuk menyertai perbahasan lebih efektif kerana ini kali pertama.

“Namun, terdapat beberapa pemimpin pembangkang bertindak efektif dalam membantu kerajaan dengan pandangan bernas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua bersama moderator, Tan Sri Johan Jaaffar di ibu pejabat Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendirian pimpinan PAKATAN adalah jelas kerana apabila berani mengkritik pihak lain ketika bertindak selaku pembangkang maka perlu berlapang untuk tujuan sama bila berperanan sebagai kerajaan.

Katanya, ia juga adalah pendirian diambil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini yang bersedia berkongsi pandangan sama ada dalam jemaah menteri kabinet, di dalam Parlimen atau di pentas awam.

“Kita bersedia menerima teguran dan amalan ini sudah saya mulakan di Selangor ketika menjadi Dato’ Menteri Besar di mana pembangkang dihormati dan mempunyai ruang cukup luas untuk berbuat demikian demi menyuburkan sistem demokrasi dalam sebuah kerajaan,” katanya.


Pengarang :