PENDIDIKANSELANGOR

Pelantikan Dr Anuar teruskan legasi kecemerlangan UNISEL

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 3 OKT: Pelantikan semula Dato’ Setia Dr Anuar Masduki sebagai Pro Canselor Universiti Selangor (UNISEL) menjadi indikator penting bagi meneruskan legasi kecemerlangan institusi itu, pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan keistimewaan dan kelebihan dimiliki beliau semasa memegang jawatan berkenaan di UNISEL, mahupun jawatan lain dipegang sebelumnya.

Katanya, pelantikan itu sekali gus melengkapkan pentadbiran dan penstrukturan universiti berkenaan daripada aspek pengurusan peringkat atasan sehingga bawahan.

“Kerajaan Negeri memberi sepenuh kepercayaan kepada Dr Anuar untuk menjadi sebahagian daripada peneraju utama UNISEL dan membawa institusi ini ke suatu tahap lebih tinggi.

“Sudah pasti, ia melengkapkan visi dan misi serta hala tuju menjadikan UNISEL sebagai universiti terulung, selain mendidik golongan profesional dan ilmuan yang mempunyai moral juga etika terpuji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pro Canselor UNISEL, di Dewan Senat, UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut merakamkan setinggi penghargaan atas pelantikan dan khidmat bakti Dr Anuar dalam meneruskan kesinambungan pencapaian universiti terbabit.

“Saya percaya kepimpinan ini mampu memberi impak positif ke arah menjadikan UNISEL lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengadakan lawatan ke tapak pembangunan di pusat pelajar termasuk Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Pusat Sukan, Smart Tahfiz Masjid UNISEL serta Perpustakaan.

Dr Anuar menerima watikah pelantikan sebagai Pro Canselor UNISEL bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Ogos 2018 hingga 31 Julai 2021.

Pelantikan itu merupakan penggal keempat berturut-turut selepas kali pertama menerima watikah pelantikan jawatan berkenaan, pada 2009.

Majlis serah tugas Dr Anuar itu mendapat persetujuan Canselor UNISEL, Raja Tan Sri Dato’ Sri Arshad Al-Haj Raja Tun Uda Al-Haj.

Hadir sama Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman termasuk Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Industri YS Sdn Bhd serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif juga Pengurus Kanan UNISEL.


Pengarang :