dav
NASIONAL

Potong utiliti kilang haram, elak kembali beroperasi

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 4 OKT: Tindakan pemotongan bekalan utiliti akan dikenakan terhadap kilang haram yang memproses sisa plastik bertujuan mengekang ia daripada beroperasi kembali.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, notis pemotongan utiliti itu sudah dihantar kepada pengusaha kilang haram di negeri ini, sejak Selasa lalu.

Katanya, pemotongan utiliti itu dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Saya akan memastikan TNB melakukan pemotongan bekalan selepas tujuh hari daripada tarikh notis berkenaan supaya semua kilang haram ini tidak lagi beroperasi.

“Kementerian optimis mahu membanteras habis-habisan kilang haram ini daripada beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam operasi menutup kilang haram di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.

Operasi itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dan Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San.

Sementara itu, Bee Yin berkata, selepas kilang haram itu ditutup, hasil sisa plastik mereka akan dibawa serta diproses ke kilang yang mempunyai lesen.

“Kita sudah menghubungi kilang kitar semula berlesen yang mengikut akta alam sekitar serta berdaftar dengan pihak berkuasa untuk memproses sisa ini.

“Kita khuatir jika menghantar ke pusat pelupusan sampah keadaan dikhuatiri menjadi bertambah buruk.

“Malah, Malaysia juga menghentikan aktiviti import sisa plastik terutamanya gred rendah, sisa yang sudah bercampur dengan kotoran serta plastik berkualiti rendah,” katanya.

Terdahulu, operasi bersepadu itu turut disertai, Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, TNB, SPAN dan Syarikat Bekalan Air Selangor dengan kekuatan seramai 100 anggota.


Pengarang :