EKONOMIRinggit

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, hari ini disokong faktor tempatan susulan laporan Bank Dunia yang mengunjurkan Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhannya dan mencapai status negara berpendapatan tinggi, antara 2020 dan 2024.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1430/1480 berbanding paras penutup 4.1450/1490, pada Khamis.

Seorang peniaga berkata, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada 4.9 peratus berikutan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan swasta, yang menunjukkan asas ekonomi negara yang teguh.

Bagaimanapun, sebagai sebuah pasaran sedang pesat membangun, prestasi ringgit dipengaruhi faktor luaran.

“Harga minyak, ketegangan perdagangan dan ekonomi Amerika Syarikat adalah tiga pengaruh utama ke atas mata wang kita buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Penanda aras minyak mentah Brent turun daripada US$86.13 setong pada penutup semalam kepada US$84.94 setong pada 9 pagi hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9993/3.0036 daripada 3.0023/0059 pada Khamis dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6326/6380 daripada 3.6252/6296.

Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.7690/7764 daripada 4.7647/7705, pada Khamis dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3958/4040 daripada 5.3802/3871.


Pengarang :