PENDIDIKAN

Sunway University IPT pertama perkenal Master in Sustainable Development

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 9 OKT: Sunway University menjadi antara universiti tunggal di Malaysia yang memperkenalkan program baharu Sarjana Muda Pembangunan Mampan (Master in Sustainable Development) bagi kemasukan sesi akademik bermula Januari 2019.

Pengasas dan Canselornya, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata, kursus itu bakal memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman menimba ilmu di fakulti bertaraf antarabangsa, termasuk Professor Sachs.

“Pelaksanaan kursus ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada Akademi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG Academy) dan kursus akademi atas talian yang dibuka secara meluas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jaringan Penyelesaian Pembangunan Mampan.

“Sudah menjadi harapan kami untuk melihat keberkesanan program ini yang diyakini mampu melahirkan pemimpin generasi baharu yang dilengkapi dengan ilmu dan berpengetahuan luas serta memiliki keupayaan daripada aspek berfikiran analitik selain membawa perubahan positif kepada negara, bangsa juga dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ‘The Master In Sustainable Development Management’, di JC1 Level 1, Sunway University, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dan Pengarah Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs, Prof Woo Wing Thye.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan tawaran biasiswa berjumlah RM30,000 kepada pelajar sesi pertama yang berminat mengikuti program berkenaan.

Malah katanya, biasiswa tajaan Yayasan Jeffrey Cheah itu lebih daripada 50 peratus kos keseluruhan yuran pengajian iaitu RM50,000 bagi tempoh 18 bulan pengajian.

“Pada 2016, Yayasan Jeffrey Cheah memberi dana sebanyak USD 10 million (RM41,596,000) kepada PBB untuk menubuhkan Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs, di Universiti Sunway, dan pusat ini dipengerusikan oleh Profesor Jeffrey Sachs.

“Selain itu, pusat ini juga menjadi hab penyelesaian berasaskan penyelidikan, pendidikan dan polisi perkhidmatan nasihat dalam memacu agenda pembangunan mampan di rantau ini.

“Manakala tahun lalu, Profesor Sachs bersama pasukan pakar antarabangsa pembangunan mampan telah menghantar 43 pimpinan badan kerajaan dan syarikat utama dari Asia Tenggara untuk menghadiri program pendidikan JSC,” katanya.

 


Pengarang :